Wednesday, November 21, 2012

Detik Cinta Kita(1)

     Tap...tap...tap..Bunyi tapak kaki Alya kedengaran kuat berlari di atas lantai papan rumahnya itu. Rumah yang terletak di hujung kampung itu kebiasaannya sunyi namun malam itu sesuatu berlaku hingga suasana rumah itu bertukar menjadi riuh rendah. 

    "Kau sedar tak apa yang kau buat ni Alya? Jangan nak memalukan ibu dan ayah!" Jerit Pak Soleh sambil tangannya melibas rotan ke punggung Alya. Alya hanya mampu menangis. Kakinya terasa kebas akibat di rotan bertalu talu oleh ayahnya semenjak tadi. Puan Ruhaidah pula hanya mampu melihat anaknya dikasari oleh suaminya kerana dia juga turut merasai kemarahan dan kekecewaan itu.

       "Sudah, mulai hari ini, ayah tak benarkan kamu keluar lagi dari rumah. Pergi masuk bilik!" Ucap Pak Soleh sambil tangannya mengurut urut dadanya yang terasa sakit. Alya bangun perlahan lahan menuju ke bilik. Dia ingin memohon ampun untuk kesekian kali namun lidahnya tidak mampu berkata kata lagi apabila melihat mata ayahnya yang mencerlung ke arahnya.
       
     "Ya Allah, apa salah aku sehingga kau berikan ujian sebegini kepada aku?" Alya merintih sendirian. Saat ini dia merasakan bahawa dia tidak mempunyai sesiapa lagi untuk berkongsi susah dan senang. Ayahnya juga sudah tidak mempedulikannya lagi padahal sebentar tadi dia cuba menagih kasih dari ayahnya supaya dapat memberinya kekuatan dan perlindungan.
      
      Alya menyentuh perutnya dengan lembut. Dia tersenyum dalam kesedihan dan keperitan yang dirasainya ketika itu. 'Alya dah mengandung ayah.' Akhirnya Alya tertidur kepenatan.

*********************************************************************************************

     Puan Ruhaidah berasa sangat bimbang akan puterinya yang satu itu. Sudah seminggu Alya tidak mengeluarkan suara. Namun dia berasa sedikit lega apabila Alya masih mahu makan walaupun hanya dalam kadar yang sedikit. 

   Sedang dia asyik mengelamun memikirkan anaknya, Alya Mardhiah, kedengaran pintu diketuk dan suara seseorang memberi salam dari luar. 
   
   "Waalaikumussalam, oh Dahlia. Silakan masuk." Dahlia hanya tersenyum dan melangkah naik ke rumah papan itu. Dia ingin bertemu dengan Alya, sahabatnya itu.

   "Alya ada dalam bilik, pergilah jenguk. Dia tak bercakap hampir seminggu. Mungkin dengan kamu dia mahu bercakap." Sambung Puan Ruhaidah sambil tersenyum kelat. Dia tahu keakraban Dahlia dan Alya semenjak mereka berpindah ke situ bulan lepas.
  
   Sebaik sahaja kaki Dahlia menjejak di hadapan pintu bilik Alya yang sedikit terbuka itu, dia ingin mengucapkan salam namun Alya terlebih dahulu bersuara.

    "Kau...kau pergi! Aku benci kau! Kerna kau, aku jadi begini!" Jerit Alya. Alya yang tadinya hanya duduk di birai katil bingkas bangun sebaik sahanja melihat Dahlia. Entah kenapa hatinya benci dengan wajah itu. Wajah yang telah mengecewakannya.
   
   "Aku minta maaf Alya. Aku tahu aku salah..Kalaulah malam tu aku tak tinggalkan kau.." Dahlia berhenti daripada meneruskan percakapan. Nafasnya terasa sesak untuk meneruskan percakapannya.
  
  "Kau memang nak tinggalkan aku, ya kan?!"Alya menjerit dan terus menolak Dahlia sehingga terduduk.

   "Aku tak akan percayakan kau lagi, kawan tak guna!" Alya menyambung lalu menutup dan mengunci pintunya. Puan Ruhaidah yang mendengar keriuhan itu tadi tergocoh gocoh datang menghampiri Dahlia. 

      Dahlia hanya diam dan bangun pergi begitu sahaja meninggalkan Puan Ruhaidah yang terpinga pinga. 'Ada sesuatu yang tidak kena antara Dahlia dan Alya. Adakah ianya berkaitan dengan peristiwa yang menimpa Alya?' Namun Puan Ruhaidah tidak menemui jawapannya!

No comments: