Monday, July 1, 2013

Kisah si pohon semalu


Semalu atau dalam istilah saintifiknya ‘Mimosa pudica’ (Sensitive Plant) (pudica = shy), adalah suatu tumbuhan renek berduri yang sering dianggap menyusahkan dan sering tidak dipedulikan tetapi sifat yang tersirat dan pemalunya seharusnya dijadikan contoh ikutan para Muslimah.
Firman Allah SWT :
رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا“Tidak Allah jadikan sesuatu itu sia-sia.” (Ali ‘Imran; Ayat 191)
 .
Malu adalah salah satu sifat mahmudah yang seharusnya ada dalam diri setiap insan terutamanya seorang wanita muslim. Ia penting sebagai benteng untuk menjaga iman kita dari terhakis oleh perkara yang mungkin boleh menjerumuskan kita ke lembah maksiat dan perbuatan lain yang tidak elok.
 .
Bila bercakap tentang malu, ada satu kisah menarik tentang MALU. Kisah antara Rasulullah  dan puteri baginda Fatimah r.a..
Pada suatu hari, Rasulullah   berjalan-jalan bersama puteri baginda, Saidatina Fatimah r.a. Setibanya mereka berdua di bawah sebatang pohon tamar, Fatimah terpijak pohon semalu, kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan.
.
Fatimah mengatakan kepada Ayahndanya apalah gunanya pohon semalu itu berada di situ dengan nada yang sedikit marah. Rasulullah dengan tenang berkata kepada puteri kesayangannya itu bahawasanya pohon semalu itu amat berkait rapat dengan wanita.
.
Fatimah terkejut. Rasulullah menyambung kata-katanya lagi. Para wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada pohon semalu ini dari 4 aspek.
.
Pertama, pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu (pada tempatnya).
.
Kedua, semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya. Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita muslim.
.
Ketiga, semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuatdengan Allah Rabbul Alamin.
.
Dan yang keempat dan terakhir sekali, semalu akan kuncup dengan sendirinya apabilasenja menjelang. Oleh itu, para wanita sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila waktu semakin senja.
.
.
Jadi, wahai para muslimah sekalian, ambillah pengajaran dari semalu walau pun ia hanyalah tumbuhan renek yang melata tetapi sifat malu tetap terjaga dan kena pada tempatnya, yang sentiasa mempertahankan maruah dan harga diri, dan yang pandai menjaga diri.
Sabda Rasulullah   yang cukup indah; “Malu itu baik semuanya.” (Riwayat Bukhari)
.
Malangnya perasaan malu yang dianugerahkan oleh Allah SWT itu pula disalurkan pula di tempat yang salah. Contohnya malu bertanya semasa belajar di dalam kelas, malu untuk menutup aurat, malu berbuat baik dan seumpama dengannya.
.
Wanita Muslim sepatutnya malu dengan Allah SWT jika ingkar akan suruhanNya, malu dengan Rasulullah   jika meninggalkan sunahNya, malu kerana lupa atau malas membaca Al-Quran, malu kerana tidak menghormati guru serta ibu bapa, malu kerana melakukan maksiat, dan yang penting malu dengan dosa-dosa kita.

Wahai muslimah,
Jadilah seperti pohon semalu..
yang durinya,
menjadi perisai diri..
yang daunnya,
 menguncup saat di sentuh..
yang akarnya,
kuat mencengkam bumi..
Tidak berbau wangi dan tidak menarik hati,
maka..tiada kumbang yang akan memerhati..
kerana..
indahmu cukup tersembunyi!

No comments: